Friday, 29 November 2013

Susu Ibu: Penyusuan Eksklusif 6 Bulan Pertama

Teks ini dipetik daripada teks penuh.

Sumber: http://susuibu.com/v2/penyusuan-ibu-eksklusif-enam-bulan-pertama-mingguan-malaysia-4-september-2005/


Menurut Pakar Perunding, Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Jamiyah Hassan, sungguhpun sudah ada kesedaran di kalangan ibu-ibu menyusukan bayi mereka tetapi ternyata ia tidak mencukupi.
“Paling penting, mereka perlu menyusukan bayi mereka secara eksklusif sekurang-kurangnya enam bulan pertama, barulah dikatakan matlamat menyusukan bayi itu tercapai dan memberi kesan yang cukup positif pada bayi,” ujar Dr. Jamiyah.
Jelas beliau, penyusuan eksklusif ini bermaksud, hanya susu ibu diberikan kepada bayi dalam tempoh enam bulan itu tanpa sokongan makanan atau minuman lain (termasuk air masak).
Makanan tambahan hanya dimulakan selepas bayi berusia enam bulan ke atas.
Lebih baik lagi, jika ibu-ibu dapat meneruskan susuan ke atas bayi mereka sehinggalah bayi meningkat dua tahun.
Kepentingan penyusuan ibu menurut Islam:
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.” – Surah al-Baqarah.
“Teknik menyusukan bayi juga perlu betul kerana jika tidak ia boleh melukakan puting buah dada dan membuat ibu serik menyusukan anaknya,” ujar Dr. Jamiyah lagi.
Cara yang betul ialah dengan memasukkan puting dan sebahagian kawasan gelap buah dada ke dalam mulut bayi. Puting akan terluka jika dihisap pada pangkal puting sahaja.
“Sebenarnya ibu boleh memilih gaya mana yang mereka selesa untuk menyusukan bayi, duduk atau baring mahupun lain-lain posisi. Apa yang pasti proses penyusuan itu mewujudkan satu hubungan yang akrab penuh kasih sayang antara ibu dan anak-anak.”
Proses pengeluaran susu
Pengeluaran susu bergantung pada keperluan dan penghisapan bayi anda. Anak saraf di dalam puting dirangsang apabila bayi menetek.
Kemudian isyarat dihantar ke otak yang menyebabkan pengeluaran hormon prolaktin. Hormon ini memulakan pengeluaran susu dalam buah dada.
Semakin kerap bayi menetek, semakin banyak hormon prolaktin yang dikeluarkan dan lebih banyak hormon bererti lebih banyak susu yang terhasil.
Kala bayi menyusu ia akan merangsangkan pengeluaran oksitosin yang menyebabkan susu mengalir keluar.
Walau bagaimanapun proses mudah dan semula jadi ini tidak akan berjaya jika anda kurang yakin dengan keupayaan diri untuk menyusu atau cemas dan mengalami tekanan.
Kata Dr. Jamiyah lagi, yang penting ibu mestilah berasa seronok dan positif untuk menyusukan bayinya.
Selepas tempoh dua bulan, ibu yang kembali bekerja masih boleh terus menyusukan bayinya.
Mereka boleh menyimpan perahan susu dalam peti sejuk (bahagian dingin beku) beberapa bekas untuk kegunaan bayi dan boleh juga membuat perahan yang sama di pejabat.
Beliau juga memberitahu, apa yang penting ibu juga perlu menjaga kesihatan, kebersihan dan makan makanan seimbang.
Dr. Jamiyah juga menambah, walaupun seseorang itu sakit atau menghidap sesuatu penyakit, dia juga layak menyusukan bayinya.
Pesakit HIV positif dan pesakit barah yang dalam rawatan tidak dibenarkan menyusukan bayi kerana dikhuatiri menjejaskan kesihatan bayi.
Tolak tanggapan negatif
Beliau juga menolak tanggapan yang mengatakan ibu yang menyusukan bayinya akan menyebabkan buah dadanya melendut atau jatuh.
Sebaliknya mereka akan mendapati buah dadanya elok asalkan mengenakan coli yang betul dan bersesuaian. Apa juga masalah mengenai penyusuan boleh diatasi andainya mereka merujuk kepada yang arif.
Apa yang penting ibu perlu sentiasa menjaga pemakanan mereka dan kebersihan dari awal mengandung sehinggalah bayi dilahirkan dan seterusnya.
Seperkara lagi banyak kaedah dan tip boleh diberikan kepada mereka yang baru mula menyusukan bayi mereka.

“Saya berharap ramai ibu akan tampil untuk menyusukan anak mereka kerana mereka boleh melakukannya. Istilah susu kering atau apa sahaja, insya-Allah semuanya boleh diatasi. Rujuk kepada yang pakar jika anda mengalami masalah mengenai penyusuan ibu ini,” ujar Dr. Jamiyah.

No comments:

Post a Comment